Thursday, April 29, 2010

Pertanian | Sayuran bendi | pendapatan sampingan




MENANAM SAYURAN BENDI

PENGENALAN
Sayuran Bendi yang dipercayai berasal dari Afrika Utara ialah sejenis tanaman sayuran buah yang berlendir. Ia mudah di tanam dan kurang diserang penyakit dan perosak. Buah dan bahagian-bahagian lain tanaman sayuran bendi ini boleh dipelbagaigunakan seperti buahnya boleh dibuat ulam dan dimasak dengan pelbagai cara; kari, salad dan digoreng. Buahnya juga boleh diproses iaitu ditinkan, dibekukan dan dijeruk dengan garam. Lendirnya pula digunakan sebagai bahan pemekat untuk sos tomato. Di India, batang-batang bendi yang tua dijadikan kertas dan biji-bijinya yang tua dijadikan minuman harian menggantikan kopi.

PENANAMAN
Sayuran Bendi boleh ditanam dikebanyakan jenis tanah seperti gembur berpasir, tanah liat, tanah gambut dan tanah-tanah lembah sungai yang bersaliran baik.

PENYEDIAAN TANAH
Bajak dan gembur tanah sedalam 15 cm hingga 22 cm. Buat pengapuran jika perlu iaitu 2 minggu sebelum menanam sayuran bendi. Sediakan batas. Gaulkan ke dalam tanah baja organik seperti tahi ayam reput sebanyak 3 hingga 5 tan sehektar.

CARA-CARA MENANAM
Tanam biji benih sayuran bendi sedalam 2.5 cm di batas. Pastikan dibubuh 2 biji selubang. Jarak tanaman yang disyorkan ialah 90 cm antara pokok. Selepas 2 minggu cabut satu pokok yang kurang subur. Sebanyak 11 gram biji benih diperlukan untuk satu batas berukuran 1.2m lebar dan 30 m panjang.

MEMBAJA
Tabur baja sebatian NPK Blue Special (12:12:17:2) di keliling pokok sayuran bendi setiap 2 minggu. Untuk sehektar tanah, 1 tan baja diperlukan.

MENYIRAM
Siram sekali sehari pada waktu petang. Penyiraman penting di peringkat pokok sayuran bendi mengeluarkan bunga dan pembentukan buah.

MERUMPUT
Cabut rumpai jika perlu atau gunakan racun herba. Ikut arahan pada label racun herba tersebut.

SUNGKUPAN
Buat sungkupan daripada jerami padi, daun-daun kering ataupun kepingan plastik bagi mengawal rumpai dan untuk mengekalkan kelembapan tanah.

MEMANGKAS
Setelah semua hasil dipetik, pokok-pokok sayuran bendi perlu di pangkas setinggi 40 cm hingga 60 cm dari paras tanah untuk mendapatkan hasil bagi kali kedua. Empat hingga lima tunas baru di biarkan menbesar selepas pemangkasan. Pemangkasan ini diikuti dengan pembajaan.

KAWALAN MUSUH DAN PENYAKIT
Musuh utama tanaman sayuran bendi ialah serangga dan perosak seperti ulat pengorek dan kepinding buah yang merosakkan buah-buah bendi pada semua peringkat pertumbuhan buah. Sekiranya serangan teruk, gunakan racun serangga seperti Diazinon. Penyakit utama tanaman bendi ialah bintik daun yang terdapat pada adaun-daun tua di mana daun-daun ini kelihatan bertompok-tompok hatam dan berjelaga. Penyakit ini boleh di kawal dengan menyembur racun kulat Benomyl. Penggunaan racun-racun hendaklah mengikut arahan label.

PENUAIAN
Buah-buah sayuran bendi boleh dituai dengan memotong 2 cm dari pangkal buah. Elakkan dari tercedera kerana lendirnya akan keluar berterusan dan ini boleh menjatuhkan mut buah. Penuaian mula dilakukan ketika:
a. 50 hingga 55 hari selepas menanam
b. 5 hingga 6 hari selepas bunga berkembang dan berlaku pendebungaan
c. Buah berukuran 10 hingga 12 cm panjang, iaitu buah-buahan masih lembut, hujungnya rapuh, senang dipatahkan dan belum berpulur.
Pada peringkat ini buah-buah telah mencapai kadar pertumbuhan yang paling tinggi dan hendaklah dituai supaya pokok-pokok bendi boleh terus mengeluarkan bunga-bunga baru dan seterusnya menjamin pengeluaran buah yang berterusan. Hasil dikutip setiap 2 hari sekali dan berterusan sehingga 8 minggu. Jumlah hasil di anggarkan 10 tan hingga 15 tan sehektar.

PENGENDALIAN LEPAS TUAI
Buah-buah sayuran bendi yang telah dituai dikumpulkan ditempat teduh dan dimasukkan kedalam bakul ( plastik atau buluh) yang telah di alas dengan kertas atau plastik cerah yang berlubang. Ia hanya boleh di simpan selama 2 hingga 3 hari tanpa dibungkus dengan plastik. Sedikit air perlu di percikkan supaya pengudaraan menjadi lembap. Buah-buah yang dibungkus dengan beg plastik boleh disimpan selama 7 hari hingga 8 hari dalam keadaan suhu 24oC hingga 26oC dan kelembapan bandingan 70 hingga 75 peratus.
Penanaman sayuran bendi di kawasan rumah boleh menjimatkan wang dapur dan menjadi sumber pendapatan sampingan.
- Home -

Pertanian | Penanaman cili padi | sumber pendapatan sampingan




Penanaman pokok cili padi untuk pendapatan sampingan.

PENYEDIAAN TANAH:
Di Ladang – Bajak dan gemburkan tanah sedalam 15 hingga 22 cm ( 6-19 inci). Sediakan batas berukuran 1.2m (4 kaki) lebar dan 22 hingga 30 cm (9-12 inci) tinggi. Panjang batas mengikut keadaan kawasan. Jarak antara batas ialah 45 cm (1.5 kaki). Gaulkan tahi ayam reput sebanyak 25kg bagi 50 meter persegi (500 kaki persegi) kawasan. penanaman pokok cili padi dalam Pasu atau Bekas – Gunakan tanah campuran mengandungi 3 bahagian tanah, 1 bahagian tahi ayam reput atau kompos dan 1 bahagian pasir. Isikan pasu dengan tanah campuran tersebut sehingga 5 cm (2 inci) dari permukaan pasu.
Nota: Digalakkan menggunakan baja organik bukan berasaskan najis haiwan untuk penanaman cili.

MENYEDIA ANAK BENIH
Bagi penanaman pokok cili padi di ladang, sediakan kotak semaian berukuran 45 cm (18 inci) panjang, 22 cm (9 inci) lebar dan 10 cm(4 inci) tinggi. Isikan kotak semaian dengan tanah campuran mengandungi 3 bahagian tanah, 1 bahagian tahi ayam reput dan 1 bahagian pasir. Semai 5g biji benih dalam kotak semaian secara barisan dan tutup benih dengan lapisan nipis
tanah. Jarak penanaman pokok cili padi ialah 5 cm (2 inci) antar baris dan 2 cm (1 inci) antara pokok. Siram dengan penyiram yang mempunyai semburan halus dua kali sehari. Kotak semaian mesti dilindungi daripada cahaya matahari dan air hujan yang berlebihan. Ubah anak benih ke ladang 3 hingga 4 minggu selepas disemai. Sebelum diubah ke ladang. Dedahkan anak benih kepada cahaya matahari selama 3 hingga 4 hari untuk mengeraskannya.

PENANAMAN
Di Ladang penanaman Anak benih pokok cili padi boleh terus diubah ke batas. Sebelum mencabut, basahkan kotak semaian supaya anak benih senang di gali. Gali anak benih dengan segumpal tanah dan tanam terus ke batas. Jarak tanaman ialah 90 cm (36 inci) antara pokok dan 150 cm (60 inci) antara baris.
Dalam Pasu atau Bekas – Semai terus 3 atau 4 biji benih pokok cili padi kedalam pasu sedalam 2 hingga 5 cm. Tinggalkan hanya sepokok setiap pasu selepas 2 minggu ditanam.

PENJAGAAN
Menyiram – Siram pokok cili padi pada awal pagi dan lewat petang setiap hari kecuali hari hujan.

Membaja penanaman pokok cili padi:

DiLadang Tabur baja NPK Blue Special (12:12:17:2) di keliling pokok cili padi dengan kadar 1 sudu besar atau 10g sepokok setiap 2 minggu.
Dalam Pasu atau Bekas – Tabur sebanyak 1 sudu the atau 5 g baja NPK Blue Special (12:12:17:2) sepasu di kelliling pokok setiap minggu.

SUNGKUPAN
Di Ladang - Gunakan rumput-rumput kering atau pelepah kelapa sebagai sungkupan. Selalunya sungkupan plastik di gunakan di ladang.
Dalam Pasu atau Bekas – Gunakan rumput-rumput kering atau sabut kelapa.

MERUMPUT
Bersihkan batas atau pasu daripada rumpai dengan mencabut, menggunakan cangkul atau tajak.

KAWALAN SERANGGA DAN PENTAKIT
Bintik Daun – Sembur racum kulat Benomyl
Antraknos Buah – Sembur racun kulat seperti mancozeb
Kutu Daun – Sembur racun serangga chlorphyrifos atau Imidachloprid
Hamama Merah – Sembur racun seperti dicofol atau malathion
Kerekot Daun dan Mozek Daun – a) Penyakit ini disebar oleh kutu daun.Oleh itu kawalan kutu daun adalah penting.
b) Buang dan bakar pokok yang berpenyakit
Layu Pokok (Layu Bakteria) – Tiada kawalan kimia yang berkesan. Buang dan bakar pokok cili padi yang berpenyakit.
Tentukan saliran tanah yang baik.

PENUAIAN:
Di Ladang Cili padi boleh dipetik selepas 8 minggu dubah ke ladang. Pungutan dibuat setiap 3 atau 4 hari. Anggaran hasil dari kawasan 50 m (500 kaki) persegi ialah 100 – 200 kg.
a) Cili Hijau – Anggaran harga antara RM4 – RM6 sekilo
b) Cili Merah – Anggaran harga antar RM5 – RM8 sekilo.
Dalam Pasu atau Bekas – Cili padi boleh di petik selepas 12 minggu ditanam. Anggaran hasil ialah 6 hingga 10kg sepokok.
Jika ditanam di dalam pasu, anda boleh menggunakan kawasan kosong di kawasan rumah anda. Secara tidak langsung boleh menjimatkan wang dapur anda dan boleh menjadi pendapatan sampingan anda.